Sirna Cita-cita Dek Kelam Cinta
Cita-cita semurni cinta
Hidup tanpa cinta ialah hidup tanpa cita-cita. Cinta yang terbaik ialah cinta yang bertalian dengan cita-cita
Jadikan cita-citamu sebagai cinta!
Dalam cinta ada cita-cita dan dalam cita-cita ada cinta. Kadangkala cinta terangkum dalam kebesaran cita-cita. Tetapi ada kalanya cita-cita tersulam dalam keindahan cinta. Tetapi buat seorang pelajar: Dahulukanlah cita-cita... Justeru ia lebih konkrit, realistik dan diberi prioriti berdasarkan realiti dan diri semasa anda.
Anda mungkin kehilangan cinta dalam memburu cita-cita, tetapi usah risau. Apa yang hilang itu hakikatnya bukan CINTA tetapi cinta. Dan setelah cita-cita anda tercapai... cinta yang sebaik-baiknya dan semurni-murninya akan berada di hadapan anda.
Pada ketika itu belai dan suburkanlah pohon cinta itu dengan baik kerana sudah cukup layak untuk itu. Baja harta, air taqwa, cahaya ilmu dan tanah iman sudah menjadi milik anda. Tetapi awas, jika cinta didahulukan daripada cita-cita... anda mungkin kecundang, kerana cinta itu belum teguh. Sekerat jalan ia mungkin patah. Lalu anda akan terjerumus dalam lembah 'frust' dan kecewa.
Dan katakanlah cinta anda dan si dia mampu bertahan sehingga ke hujung tetapi apabila sampai ke hujung... anda tidak punya apa-apa lagi untuk menyuburkan pohon cinta itu. Anda ketandusan taqwa, ketandusan ilmu, kekurangan harta untuk membina sebuah perkahwinan yang baik. Kerana apa? Rupa-rupanya anda silap, dalam mengejar cinta anda telah mengabaikan cita-cita.
Ya, bermula dengan sesuatu yang jelas dan utama. Mulakanlah dengan cita-cita. Justeru usia di tahap anda, cita-cita itulah yang jelas nyata. Cintailah cita-cita anda!
(Petikan daripada buku Tentang Cinta oleh Pahrol Mohd Juoi terbitan Telaga Biru, cetakan pertama Januari 2006)
No comments:
Post a Comment